Bantuan Sara Hidup 2019 fasa kedua bermula Mei 28

File photo for illustration purposes

KUCHING, Mei 26: Kerajaan akan melaksanakan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa kedua mulai Selasa (Mei 28) depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Kewangan (www.treasury.gov.my) mendedahkan perlaksanaan BSH 2019 fasa kedua terbabit juga berdasarkan kategorinya yang merangkumi bilangan anak tanggungan.

“Pembayaran fasa kedua ini akan melibatkan hampir 3.6 juta penerima BSH dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 bilion. Kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka,” menurut Lim.

Katanya pembayaran BSH itu akan dikreditkan terus ke akaun bank dan bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang benar-benar layak mengikut kategori pendapatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Lim berkata setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan oleh pemohon adalah tepat dan hanya yang layak sahaja akan menerima BSH.

“Pelaksanaan proses verifikasi dibuat secara menyeluruh terutamanya dalam mengenal pasti pendapatan terkini pemohon dengan membuat semakan data bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDNM, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain agensi yang berkaitan,” katanya.

Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai Julai 1, 2019 hingga Ogos 15, 2019.

Beliau menjelaskan dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDNM.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, pihaknya meminta orang ramai menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my. — DayakDaily