Bantuan Khas Kewangan penjawat awam dan pesara dibayar mulai Januari 2023 — Ismail Sabri

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 30 Ogos: Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) mulai Januari 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BKK dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700.

“Manakala RM350 dibayar kepada pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen,” katanya di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Kuala Lumpur.


BKK merupakan salah satu daripada enam langkah yang diambil sementara menanti kajian Sistem Saraan yang baharu selesai.

Tambah Ismail Sabri, langkah pertama ialah menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai gantian cuti rehat (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan.

“Ini sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Manakala langkah kedua adalah tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Ujar Ismail Sabri, tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan.

“Ketiga adalah perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.”

Sementara itu, beliau berkata langkah keempat adalah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

Katanya, Kerajaan telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Langkah Kelima ialah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

“Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion,” ujar beliau. — DayakDaily