Bantuan Khas Aidilfitri, Gawai RM500 untuk penjawat awam Sarawak

File photo for illustration purposes

KUCHING, 28 April: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Aidilfitri dan Gawai Tahun 2021 berjumlah RM500 kepada semua gred pejawat awam negeri.

Pejabat Ketua Menteri menerusi satu kenyataan hari ini berkata, bantuan khas tersebut akan dibayar kepada semua penjawat awam terlibat pada bulan Mei depan sebelum menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negeri dan negara menghadapi tempoh yang penuh cabaran ini,” kata kenyataan itu.

Katanya, pemberian bantuan khas tersebut diharap akan dapat meringankan beban kewangan penjawat awam terbabit ketika membuat persedian untuk menyambut dua perayaan itu.

Pada masa sama ia turut menjadi insentif kepada mereka untuk terus memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi.

Pemberian Bantuan Aidilfitri dan Gawai Tahun 2021 bagi semua kategori Gred Penjawat Awam Negei Sarawak itu akan memberikan manfaat kepada kira-kira 16,000 penjawat awam negeri di seluruh Sarawak. — DayakDaily