Bank Rakyat serah zakat kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Taib (lima dari kanan) menerima cek zakat perniagaan Bank Rakyat yang diserahkan Wan Junaidi (lima dari kiri).

KUCHING, 30 Ogos: Bank Rakyat dan anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd tampil menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.53 juta dan RM100,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan berakhir 2019.

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dalam satu majlis ringkas di kediaman rasminya di Demak Jaya, Kuching Sarawak.

Penyerahan zakat perniagaan ini turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Medac yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat Datuk Seri Mohammad Mentek serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.


Agihan zakat perniagaan ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat sebanyak RM32.99 juta yang telah diluluskan oleh Bank Rakyat kepada seluruh negeri di Malaysia pada tahun kewangan berakhir 2019.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap agar penyerahan zakat ini dapat membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan kelangsungan makanan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau turut menyeru agar institusi dan komuniti Islam terus melunaskan pembayaran zakat bagi membantu golongan yang terjejas terutamanya asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung kepada bantuan semasa tempoh yang sukar.

“Semoga dengan kesempurnaan salah satu rukun Islam ini juga, perniagaan yang diusahakan Bank Rakyat bersama anak syarikatnya bertambah maju dan berkembang bagi membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang bakal menyumbang kepada proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global,” tambah beliau.

Sementara itu, Rosman berkata Bank Rakyat melunaskan kewajipan tuntutan salah satu rukun Islam ini serta kewajipan sosial korporatnya dengan memperuntukkan zakat dan hibah menjangkau RM30 juta untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri di seluruh negara.

“Sejak tahun 2010, Bank Rakyat telah mengagihkan keseluruhan zakat sebanyak RM39.1 juta kepada negeri Sarawak.

“Agihan zakat ini selaras dengan pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang memfokuskan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan berkhidmat kepada komuniti dan masyarakat yang ditunjangi dengan nilai keislaman dan prinsip kelestarian,”kata Rosman.

Bank Rakyat, tambah beliau, sentiasa berusaha untuk memenuhi tuntutan mandat penubuhan bank dalam menyediakan peluang kepada masyarakat termasuk golongan asnaf dalam membentuk kehidupan masyarakat yang makmur dan berkembang melalui penyediaan kemudahan alat kewangan sosial Islam seperti wakaf, zakat dan hibah bagi memenuhi keperluan asas golongan yang memerlukan ini, termasuklah makanan dan tempat tinggal. — DayakDaily