Bajet 2024 Sarawak paling besar — Abdul Karim

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (file pic)

KUCHING, 12 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula pada 20 November ini bakal meluluskan satu belanjawan besar bagi tahun 2024.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ia merupakan bajet paling besar setelah Sarawak mencatatkan pendapatan besar pada tahun ini.

“Minggu hadapan akan bermula Persidangan DUN, di mana Bajet 2024 akan dibentangkan.


“Saya ingin memaklumkan bahawa ia merupakan satu bajet paling besar. Biarlah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkannya nanti,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam ‘Kuching, Kota Samarahan & Serian Pan Chern Liew Clan Association’ malam tadi.

Tambah Abdul Karim, pendapatan tinggi yang diperolehi digunakan sebaiknya untuk membangunkan Negeri.

Ujarnya, Bank Dunia pada tahun ini telah memberi pengiktirafan kepada Sarawak sebagai sebuah Negeri berpendapatan tinggi.

“Pengiktirafan ini datang dari Bank Dunia, iaitu badan bertauliah,” katanya.

Pada persidangan yang diadakan pada November 2022, DUN telah meluluskan belanjawan negeri 2023 berjumlah RM10.797 bilion. — DayakDaily