Bajet 2023: Peruntukan RM55 bilion bantu rakyat kurangkan kos sara hidup – Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 8 Okt: Peruntukan RM55 bilion khusus dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif menerusi Bajet 2023 bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membolehkan pelbagai program dan inisiatif demi manfaat rakyat yang telah diadakan sebelum ini diteruskan.

“Kejayaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat disebabkan inflasi sejak Disember 2021 kini diteruskan melalui peruntukan RM100 juta untuk program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).

Advertisement

“Program akan diterajui oleh 5 Kementerian serta dijalankan di 600 DUN dan 13 parlimen di Wilayah Persekutuan dengan kekerapan dua kali sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, Program Penyeragaman Harga khususnya bagi menampung kos pengangkutan dan kos pengedaran barang keperluan asas dengan peruntukan RM200 juta juga diteruskan.

Katanya, ini bagi memastikan rakyat di kawasan pendalaman dan pulau-pulau menikmati harga yang sama di bandar bagi barangan seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel.

Manfaat program ini akan diperluaskan ke 23 kawasan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga mempromosi barangan Malaysia dan meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk KPDNHEP memperhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Kerajaan juga akan memperkasa usahawan francais di bawah program pembangunan kapasiti vendor 2.0 melalui geran penyelidikan dan pengkomersialan vendor 2.0 dengan peruntukan RM15 juta,’ ujar beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Nanta berkata, kerajaan fokus memastikan petrol dan diesel bersubsidi dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan bukannya warga serta kenderaan asing dan tidak diseludup ke luar negara atau disalahguna.

Ujarnya lagi, langkah yang sama akan diambil bagi memastikan minyak masak dan LPG bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak disalahguna oleh peniaga.

Berhubung usaha memperkasa advokasi kepenggunaan, kerajaan kata Nanta akan menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam swasta bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

“KPDNHEP juga mengalu-alukan langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam membasmi penipuan dalam talian atau online scam.

“Salah satu langkah tersebut adalah dengan penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan(NSRC) yang melibatkan usahasama PDRM, BNM, MCMC serta NFCC dan akan bekerjasama dengan institusi kewangan.

“Pusat ini akan mula beroperasi bulan ini dan akan menjadi one stop centre dengan kepakaran dan sistem forensik siber dalam menerima aduan, memproses dan menjejaki serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap scammers,” kata Nanta. — DayakDaily

Advertisement