1,500 jemaah sertai Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Lahir TYT Sarawak

Tun Taib (tengah) bersama Abang Johari (kiri) dan Awang Tengah (kanan) hadir ke majlis kesyukuran.

KUCHING, 8 Okt: Kira-kira 1,500 jemaah telah menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Masjid At-Taqwa, Miri pada Jumaat.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis turut disertai isteri Tun Taib, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib Berjemaah yang diketuai oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.


Mustapha Kamal kemudiannya memimpin bacaan Yaasin sebelum majlis diteruskan dengan alunan Zikir Marhaban bersama Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Miri.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan doa kesyukuran sebelum Solat Fardhu Isyak Berjemaah diadakan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam bersama para jemaah dan juga tetamu lain yang hadir.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan datuk amar Douglas Uggah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Lahir Dato Sri Lee Kim Shin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.— DayakDaily