Bajet 2023: Fokus wujudkan peluang kerja, tingkatkan pendapatan rakyat dan kelangsungan perniagaan

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 23 Ogos: Antara tumpuan utama Bajet 2023 adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023 dengan bajet adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian di Majlis Konsultasi Bajet 2023 yang diadakan di Dewan Utama, Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut Ismail Sabri, sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

Ia meliputi pemberian subsidi dan perlindungan sosial, kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

Katanya, terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional.

“Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia.

“Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai,” ujar beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan. — DayakDaily