KUCHING, 23 Oktober: Kerajaan Negeri, menerusi Yayasan Sarawak, akan terus menyediakan bantuan biasiswa mahupun pinjaman agar nasib pelajar kurang berkemampuan yang ingin meneruskan pengajian terus terbela.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan sentiasa mencari jalan agar dana pendidikan yang disediakan oleh Yayasan Sarawak sentiasa mencukupi.
“Kerajaan Negeri memandang penting perihal pendidikan dan kita turut mewujudkan kementerian pendidikan yang bertujuan menyelaras semua perkara-perakar berkaitan.
“Ini kita lakukan walaupun pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan pusat,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra-U SMK Merapok di sini malam tadi.
Beliau menambah, kerajaan negeri telah membayar sejumlah RM350 juta sebagai bayaran pertama kepada kerajaan pusat untuk memperbaiki sekolah-sekolah daif di negeri ini.
“Namun, menerusi pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, perkara-perkara berkaitan pendidikan mendapat sekitar RM735 juta.
“Ini agak membimbangkan kerana kita masih tidak tahu dari jumlah RM735 juta tersebut, berapakah peruntukan untuk Sarawak,” tambah beliau.
Pada majlis itu, Awang Tengah menasihati agar pelajar terus mempersiapkan diri dengan ilmu yang sejajar dengan perkembangan semasa.
“Dibawah inisiatif digital ekonomi yang dipelopori ketua menteri, visi tersebut jelas memerlukan kemahiran teknikal dan para pelajar seharusnya mahir dalam penggunaan aplikasi teknologi Internet,” katanya
Beliau turut mengumumkan dana sebanyak RM15,000 untuk program graduasi Pra-U SMK Merapok. — DayakDaily