Awang Tengah: Bina jalan ‘missing link’ 170 km, peruntukan Kerajaan Pusat dipohon

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan

KUCHING, 30 OKT: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan memohon kerajaan pusat menyediakan peruntukan untuk membina jalan ‘missing link’ sepanjang 170 km di utara Sarawak.

Katanya, ia bagi melengkapkan jajaran Sarawak-Sabah Link Road(SSLR) dan cadangan pembinaan Northern Coastal Highway yang akan disambung terus ke Sabah.

“Jadi ‘missing link’ ini cuma tinggal 170 km sahaja lagi dan saya harap Menteri Kanan Kerja Raya (Dato Sri Fadillah Yusof) boleh mendapatkan peruntukan.

“Ini supaya bukan sahaja jajaran Lawas ke Long Lopeng dapat disiapkan, tetapi pembinaan jalan ‘missing link’ turut dilaksanakan cepat ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Membina Sarawak-Sabah Link Road(SSLR) Lawas ke Persimpangan Long Lopeng yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Lawas hari ini.

Berhubung Projek SSLR, Awang Tengah berkata ia akan terus dihubungkan ke Ba’Kelalan dan dari Long Lopeng ke Limbang akan terus dihubungkan ke Mulu, seterusnya ke Miri.

Menurut beliau lagi, Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong telah berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk membina jalan daripada sempadan(CIQ) Indonesia ke SSLR.

“Manakala jajaran dari Mendamit ke Lawas sepanjang lebih 11 km telah mendapat peruntukan sebanyak RM150 juta daripada Agensi Pembangunan Kawasan Utara(NRDA).

“Kesemua projek ini telah kita rancang dan ia menghubungkan semua perkampungan dan ini juga dihubungkan ke cadangan projek Northern Coastal Highway,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari berkata, pembinaan kesemua projek jalan ini akan memudahkan pelaksanaan Northern Power Transmission di bawah SEB.

Katanya, bekalan elektrik di Lawas dan Limbang akan dihubungkan ke sistem grid terus ke Sabah.

“Ia juga memudahkan kerajaan untuk membekalkan elektrik dan air terawat ke kawasan luar bandar,’ katanya.

Turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof. — DayakDaily