ATM usir lima Pati cuba masuki Sarawak dalam empat kejadian berasingan

Gambar komposit menunjukkan Pati yang ditahan oleh anggota ATM ketika cuba memasuki Sarawak secara haram.
Advertisement

KUCHING, 16 Dis: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai dari Indonesia untuk memasuki Sarawak secara haram menemui kegagalan apabila kehadiran mereka berjaya dikesan Anggota Tentera Malaysia yang melaksanakan rondaan Ops Benteng di garis sempadan Malaysia-Indonesia.

Markas 1 Divisyen Pertama Infantri dalam satu kenyataan mendedahkan kelima-lima Pati tersebut ditahan dalam empat kejadian berbeza semalam di kawasan sektor Balai Ringin, Lubok Antu dan Tebedu.

ā€œKejadian pertama, berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari di Sektor Balai Ringin, kelihatan dua orang awam dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan ke Malaysia dari arah sempadan antarabangsa Indonesia.

Advertisement

ā€œKumpulan tinjau mengesyaki dua orang awam tersebut adalah Pati yang ingin merentasi sempadan Malaysia-Indonesia. Setelah ditahan dan disoal siasat, Pati tersebut memberi alasan memukat burung di kawasan ladang sawit tersebut dan hasil pemeriksaan juga mendapati mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

ā€œKejadian kedua berlaku di Sektor Lubok Antu sekitar jam 1.30 petang, anggota yang sedang melaksanakan operasi telah menjumpai tiga beg penuh berisi pakaian harian ditinggalkan di tepi pokok kelapa sawit. Dipercayai ianya ditinggalkan sebelum melarikan diri dan pemantauan berterusan dijalankan dikawasan tersebut,ā€ menurut kenyataan itu hari ini.

Kelihatan barang-barang yang ditemui oleh anggota ATM dipercayai ditinggalkan Pati di sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia.

Dalam kejadian ketiga, Kumpulan Ronda Berkenderaan ATM mengesan tiga orang awam dipercayai Pati dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai cuba untuk merentasi sempadan secara haram.

Setelah disoal siasat, Pati tersebut didapati dalam perjalanan menuju ke pekan Serian dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan yang sah.

ā€œKejadian keempat pula berlaku pada jam 5.30 petang di Sektor Tebedu, anggota ronda telah menjumpai 10 beg guni penuh berisi pakaian, alat solek, ubat-ubatan dan rempah ditinggalkan di belakang rumah kosong tersebut.

ā€œHasil rampasan tanpa tuan tersebut dianggarkan bernilai RM 17,552.50 dan pemantauan berterusan dijalankan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi pencerobohan mahupun cubaan masuk secara haram ke Sarawak,ā€ tambah kenyataan itu.

Kesemua Pati yang ditahan itu diusir semula kembali ke negara asal mereka selepas laporan polis dibuat di balai polis berdekatan sesuai dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan penularan Covid-19 di depo tahanan.

ā€œKes-kes pencerobohan dan cubaan penyeludupan barangan di sempadan Sarawakā€“Kalimantan Barat dilihat semakin meningkat.

ā€œJusteru itu, anggota keselamatan terutama Tentera Darat Malaysia senantiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,ā€ tambah kenyataan itu. ā€” DayakDaily

Advertisement