ATM usir lapan pati cuba masuki Sarawak dalam tiga kejadian berbeza

lapan Pati yang di usir oleh anggota ATM ketika cuba memasuki negeri ini secara haram

Oleh: Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 12 Dis: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia diusir kembali ke negara asal mereka selepas didapati cuba memasuki Sarawak secara haram dalam tiga kejadian berbeza pada Khamis, Jumaat dan hari ini.

Markas Divisyen Pertama Infantri dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian pertama pada khamis (10 Dis) dua Pati dipercayai berasal dari Kampung Jangkang, Kalimantan Barat, Indonesia dikesan cuba memasuki negeri ini menerusi lorong tikus dekat Balai Ringin, serian.

lapan Pati yang di usir oleh anggota ATM ketika cuba memasuki negeri ini secara haram

Pati terbabit ditahan sekitar jam 3.00 petang oleh anggota ATM yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus sekitar sektor tersebut.

Dalam kejadian kedua pada Jumaat (11 Dis) lima pati lagi ditahan di sekitar sektor Tebedu kira-kira jam 11.00 malam ketika cuba menyelinap masuk ke Sarawak.

“Setelah ditahan dan diperiksa, mereka berasal dari Entikong dan sama seperti kes-kes sebelum ini mereka ingin ke Kuching untuk bekerja.

“Bagi kes ketiga pula, berlaku hari ini (12 Dis) sekitar jam 12.00 tengah hari, seorang Pati nekad berjalan menuju kearah Pos Sekatan Jalan Raya (SJR) Serikin sebelum ditahan oleh anggota yang sedang berkawal.

lapan Pati yang di usir oleh anggota ATM ketika cuba memasuki negeri ini secara haram

“Setelah diperiksa dan disoal siasat, PATI tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan turut menyatakan ingin ke Kuching mencari kerja,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi tindakan mengusir ke negara asal mereka dilakukan terhadap kesemua Pati terbabit setelah laporan Polis di buat di balai polis berhampiran.

“Tekanan dan desakan untuk menampung kos sara hidup yang terjejas akibat pandemik ini dan Pintu Sempadan Antarabangsa yang masih ditutup berkemungkinan menjadi penyebab kepada cubaan Pati masuk ke Sarawak secara haram.

“Untuk rekod, awal bulan Disember ini sahaja telah mencatatkan 5 kes penahanan Pati, dua daripadanya berlaku di Sektor Tebedu,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu Markas Divisyen Pertama Infantri turut menegaskan Tentera Darat Malaysia sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan Negara. — DayakDaily