Atlit para Sarawak mampu raih 2 emas, 4 perak di Sukan Para Asia Hangzhou 2023

Fatimah (tiga kanan) menghadiri Majlis Amal anjuran Kuching Life Care Society di Kuching malam tadi.

KUCHING, 22 Okt: Atlit Sarawak diramal mampu meraih 2 emas, 4 perak dan 12 gangsa pada Sukan Para Asia Hangzhou 2023 bermula 22 hingga 28 Oktober ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, atlit angkat berat negara Bonnie Bunyau Gustin merupakan salah seorang penyumbang emas.

“Berdasarkan persembahan Bonnie yang telah menyumbang emas di Kejohanan Angkat Berat di Jakarta, kita yakin beliau boleh menyumbang emas di Sukan Para Asia tahun ini,” katanya.


Beliau berkata demikian di Majlis Amal anjuran Kuching Life Care Society di Kuching malam tadi.

Selain Bonnie tambah Fatimah, dua lagi atlit para Sarawak yang berpotensi memperoleh emas ialah Mohammed Nor Syaiful dan Fraidden Dawan dalam acara renang.

Dalam pada itu beliau memaklumkan seramai 15 atlit para Sarawak (10 lelaki dan 5 wanita) terlibat dalam Sukan Para Asia Hangzhou.

Kontinjen Malaysia katanya menghantar 130 atlit para keseluruhan yang akan bertanding di dalam 14 acara.

“Secara keseluruhannya, Malaysia mensasarkan 35 pingat dalam edisi ke 4 sukan para yang diadakan di Stadium Olimpik Hangzhou,” jelas Fatimah. — DayakDaily