Atlet Sarawak Grace Wong sumbang emas pada Sukan SEA Kemboja

Grace Wong

KUCHING, 8 Mei: Atlet Sarawak, Grace Wong berjaya meraih pingat emas dalam acara lontar tukul besi Sukan SEA di Stadium Morodok Techno di Phnom Penh di Kemboja sebentar tadi.

Pada temasya kali ini, Grace berjaya memecahkan rekod kejohanan menerusi balingan sejauh 61.88 meter (m).

Catatan itu memecahkan rekod lama miliknya, 59.64m yang dilakukannya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kejayaan Grace turut diiringi seorang lagi atlet muda negara Nurul Hidayah Lukman apabila memenangi gangsa menerusi jarak balingan sejauh 49.61m.

Manakala pingat perak milik wakil dari Thailand Mingkamon Koomphon (57.62m).

Mengikut rekod, Grace sebelum ini memenangi pingat emas pada penampilannya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum mengulangi pencapaian cemerlang itu di Hanoi tahun lalu.

Grace juga adalah pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 62.48 m yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua tahun lalu. — DayakDaily