Atlet renang Para Sukma Sarawak bersemangat untuk kembali menjalani latihan

Julius Jaranding
Advertisement

KUCHING, 29 Jun: Atlet renang Para Sukma Sarawak bersedia untuk menjalani latihan semula sebagai persiapan menghadapi sukan tersebut di Johor tahun depan.

Menurut jurulatihnya Julius Jaranding, kesemua 11 perenang kini menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing dan menunggu arahan daripada pihak atasan untuk kembali menjalani latihan pusat.

“Atlet bersedia menjalani latihan di kolam renang Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) namun kita masih menunggu arahan daripada pihak atasan dan pihak kementerian.

Advertisement

“Saya nasihatkan mereka agar bersedia untuk kembali berlatih pada bila-bila masa dalam masa terdekat” kata Julius menerusi kenyataan hari ini.

Sebelas atlet renang para Sarawak ialah Rapelson Richard, Salehin Pandeta, Dominique@ Mohd Fattah Abdullah, Mohd Zamry, Galang Jambai, Donny Sa, Jeffrey Nowel Dana, Emban Utik, Safaruddin, Stanley Jaranding dan seorang atlet baharu.

Julius merupakan atlet kebangsaan yang pernah mewakili pasukan Malaysia di peringkat Asia serta peringkat dunia dan juga merupakan jurulatih OKU penglihatan.

Untuk rekod, Sarawak menjuarai Sukan Para Sukma atau sebelumnya dikenali sebagai Paralimpiad pada 1994 (Johor), 1996 (Sarawak), 1998 (Selangor), 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 (Kuala Lumpur), 2010 (Melaka), 2012 (Pahang), 2014 (Perlis) dan 2016 (Sarawak).-DayakDaily

Advertisement