Atlet Paralimpik Bonnie dan Yee Khie terima insentif RM500,000 dan RM300,000 dari kerajaan Sarawak

Abang Johari (kanan) menyampaikan cek RM500,000 kepada Bonnie. Turut kelihatan Abdul Karim (berdiri belakang) and Fatimah.

KUCHING, 2 Nov: Atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin menerima insentif RM500,000 daripada Kerajaan Negeri sebagai ganjaran memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Insentif itu telah diserahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada satu majlis yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Turut menerima insentif ialah pemenang pingat perak powerlifting Jong Yee Khie dengan jumlah RM300,000.


“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kedua-dua atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Sarawak.

“Ini semangat anak Sarawak yang terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan dan ini juga membayangkan anak anak muda Sarawak yang berusaha keras dapat mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Ini penting bukan sahaja jaguh kampung tetapi jaguh dunia. Jadi sekarang Sarawak sudah ada jaguh dunia dalam sukan,” katanya di majlis itu.

Yee Khie (kiri) menerima cek RM300,000 daripada Abang Johari. Turut kelihatan Abdul Karim (dua dari kiri) and Fatimah.

Tambah Abang Johari, kerajaan negeri memang sentiasa memberi sokongan dalam pembangunan sukan dengan menaik taraf kemudahan selain mengenal pasti bakat-bakat baru sama ada untuk Paralimpik atau sukan Olimpik.

“Insentif ini adalah penghargaan daripada kerajaan Sarawak dan sebagai galakan kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan,” kata Abang Johari.

Bonnie, 22, berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg).

Beliau merangkul emas dengan angkatan terbaik 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg.

Manakala Yee Khie, 32, yang beraksi dalam kelas 107 kilogram (kg) menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dengan angkatan terbaik 237kg di sukan yang sama.

Turut hadir di majlis itu Menteri Belia Dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily