Askar wataniah maut dalam kemalangan di Jalan Bau-Lundu

Anggota polis trafik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Advertisement

BAU, 18 Nov: Seorang anggota askar wataniah meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah pikap di KM16, Jalan Bau-Lundu, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Stenggang di Jalan Bau-Lundu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.

Advertisement

Jelasnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.45 pagi apabila mangsa yang datang dari arah simpang Jalan Lama Kampung Stenggang dikatakan keluar simpang secara mengejut.

“Mangsa telah bertembung dengan sebuah pikap yang datang dari arah Bau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa difahamkan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Batu 7, Kota Sentosa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement