ART dikembangkan ke Batu Kawah pada Fasa 2

Kelihatan Abang Johari (tengah) semasa lawatan ke pameran dan taklimat Projek Dewan Sukan dan Komuniti Batu Kawah hari ini (5 Jan 2021).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Jan: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching akan dikembangkan ke Batu Kawah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bermula setelah selesai pelaksanaan Fasa 1 ART yang melibatkan laluan Kuching ke Samarahan sehingga 2025.

Advertisement

“Dalam tempoh sehingga 2025, kita ada Fasa 1 ART yang dilaksanakan Sarawak Metro.

“Pada Fasa 2, ART akan dikembangkan ke Batu Kawah ke Bau terus ke Lundu dan Sematan.

“Inilah rancangan kita setelah selesai Fasa 1 ART. Dalam tempoh 2025 hingga 2030, kita akan membangunkan kawasan ini dengan ART melintasi Batu Kawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Sukan dan Komuniti Batu Kawah di bekas tapak kuari Ang Cheng Ho hari ini.

Menurut Abang Johari, pelaksanaan ART tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Bahagian Kuching yang melibatkan Batu Kawah, Bau dan Lundu.

Ujian percubaan ART bakal dilakukan selewat-lewatnya pada 2023 dan sebagai permulaan sistem ini akan menggunakan laluan yang dikenal pasti di sekitar bandaraya Kuching.

Laluan dicadangkan(Fasa 1) adalah dari Kuching ke Samarahan dan Kuching ke Batu 12 (Jalan Kuching-Serian).

Turut hadir pada majlis tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily

Advertisement