ARMADA: Anggap GPS ‘bidak’ dalam PN, publisiti politik murahan DAP

Alexander Frusis

KUCHING, 20 MAC: Kenyataan ahli DAP Sarawak Micheal Kong yang menyifatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai bidak di dalam Perikatan Nasional(PN) adalah satu kenyataan yang lebih kepada
publisiti politik murahan.

Menurut Ketua ARMADA Sarawak Alexander Frusis, kenyataan Micheal seolah-olah memperlekehkan usaha Kerajaan PN membantu rakyat di Negeri ini.

“GPS adalah rakan kongsi dalam gabungan PN, kita percaya dengan perkongsian kuasa dan tiada pihak yang mendominasi kuasa dari segi membuat keputusan, dasar dan polisi kerajaan.


“Kenyataan beliau(Micheal) yang menyifatkan PAS dan BERSATU sebagai sebuah entiti politik yang ekstrim adalah kenyataan terdesak dan menangguk di air yang keruh serta mengambil kesempatan di atas kekecohan tentang isu – isu sensitif yang melibatkan kaum dan agama,”katanya dalam satu kenyataan.

Micheal yang juga Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa GPS adalah “ bidak “ yang diperintah oleh BERSATU dan PAS dibawah Kerajaan PN yang disiar melalui sebuah portal berita atas talian milik akhbar tempatan.

Dalam pada itu, Alexander berrharap semua pihak jangan mempolitikkan isu kalimah Allah di Negeri ini.

Pada masa yang sama katanya, ARMADA Sarawak menggalakkan dialog dan wacana antara ketua – ketua agama bagi merungkai kekusutan yang melanda, dan mencari titik persefahaman.

“Keutamaan kerajaan Perikatan Nasional buat masa ini ialah memastikan martabat rakyat terus diangkat dan nasib mereka terus dibela,’katanya.

Tambah beliau, ini dibuktikan dengan langkah terbaru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pakej rangsangan ekonomi – Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang berjumlah RM20 billion, tambahan kepada lima pakej bantuan yang berjumlah RM340 bilion.

Jelas Alexander,ia melibatkan pakej PRIHATIN sebanyak RM250 bilion, PRIHATIN PKS RM10 bilion, PENJANA RM35 bilion, Kita PRIHATIN RM10 bilion dan PERMAI RM15 bilion. -DayakDaily