Arkitek rugi RM121,000 ditipu sindiket Macau Scam

Dato Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 10 Mei: Seorang arkitek di sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian RM121,000 setelah menjadi mangsa sindiket Macau Scam kerana kononnya terlibat jenayah pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 35 tahun itu, membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu sindiket itu semalam.

Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila tidak berjaya menghubungi nombor telefon sindiket tersebut yang mula memperdayanya sejak bulan Mac lalu.

“Mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Rizuan dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac, mengatakan mangsa telibat dalam satu kes pengubahan wang.

“Mangsa menafikan penglibatannya, namun panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya Sarjan Farah dari Balai Polis Langkawi dan akan membantu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, suspek yang kononnya anggota polis itu turut menawarkan bantuan membuat laporan penafian dengan syarat, mangsa membuat pembayaran untuk audit dan siasatan.

“Mangsa kemudian dihubungi beberapa individu melalui telefon bagi mengarahkannya membuat bayaran itu.

“Mangsa melakukan 11 transaksi wang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu yang berlainan di antara 1 Mac dan 12 April,” kata Mohd Azman.

Siasatan lanjut polis berhubung perkara tersebut masih dijalankan. — DayakDaily