APMM Sarawak kata tiada hadapi masalah kawal perairan seperti yang didakwa

Robert Teh Geok Chuan

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 9: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak tidak mempunyai sebarang masalah atau kekurangan bekalan minyak untuk melakukan operasi pemantauan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di sekitar perairan negeri ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, pihaknya menolak dakwaan seorang Ahli Parlimen yang mengatakan APMM Sarawak tidak menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjaga perairan negara.


Tegas Teh, pihaknya sentiasa komited dalam menjalankan tugas menjaga kedaulatan perairan negara khususnya di Sarawak, malah tidak berdepan masalah kekurangan bahan api seperti yang didakwa.

“Pasukan APMM Sarawak juga sentiasa mengambil serius setiap aduan dari orang awam yang mengadu terdapat banyak aktiviti pencerobohan vesel negara asing terutamanya di perairan Bintulu dan Miri.

“Buktinya, kejayaan operasi pada Ahad lepas apabila pasukan kita berjaya menahan empat vesel nelayan Vietnam.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 6 juta. Ini termasuklah nilai empat buah vesel, minyak diesel, peralatan penangkapan ikan dan kira-kira 13 tan ikan yang telah ditangkap,” katanya di sini hari ini.

Teh dalam pada itu memberitahu, pihaknya tidak berdepan masalah dengan bekalan minyak dalam menjalankan operasi di sekitar perairan negeri ini.

Ujarnya, beliau mengganggap tangkapan ini sebagai maklum balas kepada setiap tohmahan dan teguran yang dilemparkan kepada APMM oleh sesetengah pihak samada melalui media massa dan juga media sosial

“Saya juga mengingatkan rakan-rakan media untuk terlebih dahulu mengesahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Maritim Malaysia sebelum menghebahkan kepada umum.

“Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang awam yang mana akan menimbulkan persepsi negatif kepada agensi ini,” katanya. — DayakDaily