MIRI, 29 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri pada Khamis menahan sebuah bot tunda bersama tongkang pada jarak lebih kurang 1.7 batu nautika barat muara Sungai Miri.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pada jam 11.35 tadi, bot ronda Maritim yang sedang menjalankan rondaan operasi di sekitar perairan Miri telah mengesan sebuah bot tunda bersama tongkang dalam keadaan yang mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati lesen bot tunda tersebut telah tamat tempoh dan tidak mempunyai permit untuk membawa batuan dari Jabatan Tanah dan Galian.
Semua enam kru terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Indonesia dan dua warga India yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 53 serta bot tunda bersama tongkang kemudiannya ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana lesen tamat tempoh.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Zon Maritim Malaysia amnya dan perairan Miri khasnya.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily