APMM Bintulu lancar operasi SAR nelayan jatuh di laut

Anggota APMM melakukan perbincangan tentang operasi SAR yang dilakukan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 28: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang jatuh di laut, pada Oktober 25 lepas.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, nelayan yang dilaporkan hilang itu dikenali sebagai Hamden Dandan, 41.

Advertisement

Menurutnya, nelayan berkenaan dikatakan jatuh di laut pada pukul 9.15 malam kira-kira 35 batu nautika dari Tanjung Kidurong.

“Bagaimanapun, pihak APMM hanya dimaklumkan mengenai insiden berkenaan pada pukul 4 petang semalam.

“Sejurus itu, kita telah menghantar dua buah aset bagi menjalankan operasi SAR tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Shahref berharap, komuniti maritim terutamanya di Bintulu agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden di laut dengan segera.

Katanya, komuniti maritim juga harus sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

“Komuniti maritim juga diingatkan agar lebih berwaspada semasa musim tengkujuh berikutan musim monsur timur laut ketika ini.

“Seberang maklumat boleh disalurkan terus ke pusat operasi zon maritim Bintulu di talian 086-314254,” katanya. — DayakDaily

Advertisement