SERIAN, Julai 4: Misteri bunyi pelik dan bising dari kawasan luar rumah sebuah keluarga di Kampung Tebakang Dayak di sini rupa-rupanya datang daripada seekor ular tedung.
Kehadiran ular sepanjang kira-kira 3 meter itu disedari salah seorang ahli keluarga rumah berkenaan kira-kira pukul 4.53 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Serian Kapten (PA) Jostan Ringin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia itu, sepasukan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah kemudian diarahkan ke lokasi untuk menangkap ular tedung tersebut.
Katanya, apabila tiba di kampung berkenaan anggota APM mendapati benar terdapat seekor ular tedung di situ.
“Pasukan APM bersama penduduk kemudian bertindak menangkap reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas.
“Anggota APM pada mulanya berdepan dengan kesulitan untuk menangkap ular itu kerana reptilia berkenaan bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jostan menambah, anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap reptilia berbisa tersebut.
“Operasi menangkap ular tedung tersebut tamat pada pukul 5.40 petang.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghubungi APM sekiranya menemui haiwan berbisa dan tidak digalakkan bertindak sendiri bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya. — DayakDaily