APM Miri tangkap ular tedung selar lima meter panjang

Anggota APM Miri berjaya menangkap ular tedung selar seberat 10kg.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 Ogos:  Bunyi dengusan yang kuat dari dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Jalan Bakam telah membawa penemuan seekor ular tedung selar sepanjang lima meter hari ini.

Kehadiran reptila seberat 10kg itu disedari oleh cucu perempuan pemilik rumah berkenaan yang berusia 12 tahun.

Advertisement

“Cucunya baharu sahaja balik dari sekolah sebelum berjalan menuju masuk ke bilik tersebut dan mendengar bunyi ‘dengusan’ yang sangat kuat.

“Secara tiba-tiba kanak terbabit terlihat ular di belakang almari,” ujar Kaptain (PA) Usman Harto, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Miri.

Ketakutan, kanak-kanak berkenaan dengan segera memberitahu datuknya yang berusia 75 tahun.

“Rumah tersebut didiami seramai 12 orang, kerana risau keselamatan anak-anak dan cucunya yang lain, pengadu terus menghubungi kami untuk bantuan,” kata Usman.

Beliau menambah, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.54 petang tadi berhubung kehadiran ular berkenaan.

“Anggota kami yang tiba di rumah berkenaan mengambil masa kira-kira lebih 10 minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan,” katanya.-DayakDaily

Advertisement