APM Miri ambil masa 4 minit tangkap ular sawa

Anggota APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap.

MIRI, Jun 3: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri berjaya menangkap seekor ular sawa dalam satu operasi khas di Jalan Kampung Luak 4A di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, reptilia sepanjang kira-kira 2 meter itu ditangkap pada pukul 7.57 pagi.

Katanya, sebelum itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa pada pukul 7.39 pagi.


“Sejurus menerima maklumat itu, tiga anggota APM telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi pada pukul 7.53 pagi, anggota APM mendapati terdapat seekor ular sawa tengah menjalar di atas rumput di halaman rumah seorang pengadu.

“Anggota APM segera bertindak menangkap ular sawa batik itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, anggota APM mengambil masa empat minit untuk menangkap ular sawa tersebut.

Ujarnya, reptilia itu tidak bertindak agresif ketika anggota APM melakukan operasi khas berkenaan.

“Reptilia itu kemudian dibawa ke PKOD untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily