APM bantu pindah mangsa banjir di Kampung Masjid Lawas

Pasukan APM membantu memindahkan mangsa yang terjejas di Kampung Masjid Lawas.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Jan 27: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memindahkan empat mangsa yang terjejas akibat banjir di Kampung Masjid Lawas di sini hari ini.

Pasukan APM telah membawa semua mangsa yang terjejas menggunakan bot ke kawasan yang selamat.


Pegawai Perhubungan Awam, APM Sarawak, Hafizul Samah berkata, mangsa yang dipindahkan itu terdiri daripada tiga kanak-kanak dan seorang wanita dewasa.

Katanya, semua mangsa telah selamat dibawa ke rumah saudara mereka yang tidak terjejas akibat banjir.

“Setakat ini, keadaan banjir di kampung masih dalam keadaan terkawal dan operasi pemantauan masih diteruskan,” katanya di sini hari ini.

Hafizul menambah, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka di kawasan terjejas.

“Maklumat terkini berhubung banjir di kampung berkenaan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. -DayakDaily