APIEPINDO penting dalam hubungan perdagangan Indonesia-Malaysia

Riot (tengah) di majlis menandatangani dokumen di Entikong.
Advertisement

KUCHING, 7 Feb: Dewan Pengurusan Persatuan Pengusaha Import dan Eksport Perbatasan Indonesia (APIEPINDO) memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan Indonesia-Malaysia.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), MP Serian Dato Sri Richard Riot Jaem yakin APIEPINDO mampu membantu para pengusaha dari kedua belah negara.

“Hubungan baik dan kerjasama di antara pengimport dan pengeksport Indonesia-Malaysia pasti merancakkan lagi sektor perdagangan di antara Tebedu-Indonesia.

Advertisement

“Ini sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di Majlis Menandatangani Dokumen Pelantikan Dan Pengukuhan Pimpinan Persatuan Pengusaha Import Eksport Indonesia Sesi 2022-2025 di Dewan PLBN Entikong Indonesia, hari ini.

Dalam pada itu, Riot juga yakin APIEPINDO dijangka akan membantu dalam mengurangkan kes-kes penyeludupan di perbatasan yang selama ini sukar untuk dibendung.

Beliau akan memastikan kolaborasi APIEPINDO dengan ahli perniagaan Sarawak khususnya dari Kuching, Serian dan Tebedu dipertingkatkan bagi merancakkan kembali aktiviti perniagaan di perbatasan.

ā€œJika kita lihat pada 10 tahun yang lalu, Tebedu Land Port pernah mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM600 juta iaitu nilai eksport Indonesia dan RM400 juta nilai import.

ā€œTetapi selepas itu tiba-tiba jumlah nilai dagangan tersebut jatuh merudum dan ditambah lagi dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 hingga ke hari ini.

ā€œDengan termeterainya perjanjian di antara pihak persatuan dengan persatuan di perbatasan hari ini diharap akan mampu mengembalikan aktiviti sektor perdagangan di Perbatasan nanti,ā€ tambahnya lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement