50 anak penjawat awam terima sumbangan Maksak Cares

Juma'ani (tengah) di Program Maksak Cares. Turut kelihatan Abang Johari (kanan). Foto: Ukas

KUCHING, 7 Feb: Seramai 50 anak penjawat awam Bahagian Sarikei menerima sumbangan menerusi Program Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) Cares.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), sumbangan tersebut adalah bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina 2023.

Simbolik penyerahan sumbangan yang diadakan di Kuching telah disempurnakan oleh isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.


Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Program kebajikan itu merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan Maksak Wanita Sarawak di mana pada setiap perayaan, sumbangan ikhlas disediakan khususnya untuk anak-anak penjawat awam dan untuk pelajar sekolah daripada keluarga golongan B40. — DayakDaily