Anwar umum dapat majoriti kukuh tubuh kerajaan, Muhyiddin jatuh

Dato Sri Anwar Ibrahim - file pic

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau sudah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli-ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

“Dengan sokongan, majoriti kukuh dan meyakinkan ini bermakna pada saat ini kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat,” katanya dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.


Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Namun jelas beliau, ia ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menjawab soalan pemberita, Anwar mendakwa beliau telah memperolehi majoriti menghampiri dua pertiga daripada ahli-ahli Parlimen pelbagai parti.

“Setakat ini saya ada dokumen tetap, tidak diragui dan atas sebab itu saya berani mengadakan sidang media.

“Jumlahnya kukuh menyakinkan, jauh lebih daripada majoriti kecil lima sepuluh,” ujar Anwar. — DayakDaily