Anwar tidak kemuka senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Agong

Anwar (kanan) merakam gambar selepas sesi menghadap seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

KUCHING, 13 Okt: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyokongnya ketika sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam sesi yang berlangsung lebih kurang 25 minit ini, Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagimanapun, presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, katanya, tidak mengemukakan senarai sebenar nama-nama Ahli Dewan Rakyat yang didakwa olehnya menyokong tindakan tersebut.


“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” dedah Ahmad Fadil.

Tambah beliau, sesi mengadap tersebut sepatutnya berlangsung pada 22 September lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana Baginda menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober lalu.

Menyentuh perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di Malaysia, Baginda turut menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi ‘standard’ (SOP).

Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan, Baginda tetap menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya. — DayakDaily