Anwar setuju penubuhan Boutique Airlines, pengumuman rasmi Rabu ini

Anwar (empat kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil. Turut kelihatan Abang Johari (tiga kanan).
Advertisement

KUCHING, 17 April: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju kepada penubuhan Boutique Airlines oleh Kerajaan Sarawak.

Kata Anwar, pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat pada Rabu ini, selesai mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau.

“Saya bersetuju malah pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu dan hari Rabu nanti, itu di antara hal yang akan kita bincangkan.

Advertisement

“Saya berdialog dengan mahasiswa di UiTM Shah Alam baru-baru ini, itu juga yang diutarakan terutama dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Kita bersetuju bahawa kos penerbangan terlalu tinggi, dan untuk meredakan nanti, adalah perkara yang akan saya umumkan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Raia Hotel & Pusat Konvensyen Kuching Dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim di sini, malam ini.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Anwar, syarikat penerbangan sedia ada telah pun diminta untuk mengurangkan harga tambang namun ia masih tinggi.

“Kalau ada keupayaan kerajaan Sarawak yang mendepani dalam banyak hal, oleh kerana prestasi yang ditunjukkan, saya menaruh keyakinan.

“Sebenarnya menjalankan satu syarikat penerbangan bukan perkara yang mudah.

“Tetapi melihat prestasi dan keupayaan kerajaan Sarawak pada dasarnya, saya setuju tentang penubuhan syarikat penerbangan, ” ujar Anwar.

Terdahulu Abang Johari dalam ucapannya berkata, tujuan mewujudkan Boutique Airlines bukanlah untuk bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada.

Katanya, ia adalah untuk mengimbangi harga tambang yang agak mahal ketika ini khususnya penerbangan Semenanjung ke Sarawak. — DayakDaily

Advertisement