Anjing tidak bertuan, berkeliaran di Kota Samarahan ditangkap mulai semalam

Minos melancarkan Operasi Bersepadu Rabies di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 7 Feb: Anjing-anjing yang tidak bertuan dan didapati berkeliaran di tempat awam di kawasan Kota Samarahan akan ditangkap.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu Rabies berkuatkuasa semalam.

Majlis pelancaran operasi tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos di Perkarangan Pejabat MPKS.


‘Ia adalah usaha untuk mengekang peningkatan penularan kes gigitan anjing gila, ” kata Minos.

Operasi dijalankan di sekitar Kota Samarahan, Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Bahagian Samarahan (DVS), Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan. — DayakDaily