Anggota TNI ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti curi kenderaan

Mitsubishi Pajero serta dua motosikal curi yang berjaya dirampas polis.
Advertisement

LUNDU, Mac 23: Polis berjaya memberkas tiga lelaki warga Indonesia termasuk dua disyaki anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) apabila dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket curi kenderaan dalam Op Lejang di Ladang Raso di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati dua suspek tersebut memiliki dokumen sebagai anggota TNI.

Advertisement

“Polis juga merampas selaras rifle jenis SS 1 bersama satu kelopak serta 15 butir peluru daripada salah seorang anggota TNI itu untuk tindakan lanjut.

“Sebuah motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek turut dirampas selepas semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Sekama, Kuching pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras rifle jenis SS 1 yang dirampas polis.

Dev menambah, seorang suspek berusia 26 tahun itu pula ditahan selepas pasukan polis sama menahan sebuah Mitsubishi Pajero yang turut melalui jalan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di situ.

Katanya, seorang lagi rakan suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah motosikal curi diletakkan dalam Mitsubishi Pajero itu.

“Semakan juga mendapati Mitsubishi Pajero tersebut telah dilaporkan hilang di Sungai Maong, Kuching pada Mac 22 lepas,” katanya lagi.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen. — DayakDaily

Advertisement