Anggota tentera darat perlu terus beri perkhidmatan terbaik — Stephen Mundaw

Stephen (depan) bersama pasukan merakamkan gambar kenangan.
Advertisement

KUCHING, Okt 4: Seramai 18 pegawai dan 283 lain-lain pangkat daripada pasukan di bawah naungan 3 Briged telah terlibat dalam Perbarisan Lawatan Penghargaan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer DiRaja, Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Perbarisan itu telah diketuai oleh Timbalan Komander Rej 511 AW, Leftenan Kolonel Mohd Fua’at Mohd Yatim, manakala Penolong Ketua Perbarisan adalah Mejar Ejau Ajot dari Cawangan Perumahan 3 Briged.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, ajutan perbarisan adalah Kapten Bukhary Bakar dari Markas Staf Stesen Kuching, manakala SMR perbarisan adalah PW 1 Jabun Lajang dari Rej 511 AW.

Advertisement

Katanya, perbarisan itu telah diiringi oleh Platun Tambor dari gabungan Batalion Ke-11 RAMD, Batalion Ke -13 RAMD , Batalion Ke -10 RRD dan Batalion Ke -4 KAD diketuai oleh PW 2 Muhd Nurhelman Nojian.

“Ketibaan Panglima Medan Timur telah disambut oleh Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin serta para pegawai sebelum acara diteruskan dengan jamuan makan bersama semua pegawai dan peringkat anggota,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir bersama ialah Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang, para pegawai memerintah dan pemerintah serta ahli-ahli BAKAT di bawah naungan 3 Briged.

Jurucakap sama memberitahu, semasa berucap Stephen telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga 3 Briged di atas kerjasama dan komitmen selama beliau berkhidmat yang menjangkau usia 41 tahun perkhidmatan.

Katanya, beliau juga turut menasihatkan agar semua anggota tentera darat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk perkhidmatan. — DayakDaily

Advertisement