LUBOK ANTU, 8 Dis: Seorang anggota polis terkorban, apabila berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) di Kilometer 33 Jalan Sri Aman-Sarikei, hari ini.
Mangsa yang berusia 35 tahun dan berasal dari Kampung Santubong dikatakan bertugas di Balai Polis Skrang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata semasa kejadian mangsa menunggang motosikal.
Setiba di lokasi kejadian iaitu sekitar jam 10 pagi, mangsa yang bergerak lurus dari arah Betong menuju ke Sri Aman telah berlanggar dengan MPV tersebut yang keluar simpang pekan Engkilili.
Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh anggota paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pemandu MPV yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily