‘Anggota perkhidmatan awam perlu lengkapkan diri dalam pengurusan kewangan’

Peserta PKPK bergambar kenangan dengan Mohd Saiful (duduk tengah) serta tetamu kehormat lain selepas majlis perasmian.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Nov 29: Anggota pentadbiran perkhidmatan awam perlu melengkap dan mempertingkatkan diri dengan pengetahuan pengurusan kewangan dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak, Mohd Saiful Sungkih Abdullah berkata, kecemerlangan pengurusan kewangan sesebuah organisasi bergantung kepada tahap pengetahuan, kemahiran dan kecekapan anggota organisasi tersebut dalam melaksanakan tugas mereka.


Menurutnya, kecemerlangan pengurusan kewangan kerajaan dapat diterjemahkan dengan memahami dan mengaplikasi tiga prinsip utama pengurusan kewangan iaitu legaliti, integriti dan akauntabiliti.

“Pengurusan kewangan kerajaan mestilah mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang digubal oleh kerajaan.

“Sehubungan itu, penjawat awam perlu mempunyai nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan telus dalam melaksanakan tugas tersebut serta mempunyai akauntabiliti yang merujuk kepada tanggungjawab dalam menjalankan tugas dan menguruskan sumber-sumber awam melalui perwakilan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Kecemerlangan Pengurusan Kewangan (PKPK) di sini semalam.

Mohd Saiful turut berharap agar program itu dapat meningkatkan kefahaman serta kemahiran penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam pengurusan kewangan dan perolehan kerajaan.

PKPK yang diadakan di Sri Aman merupakan siri yang keempat dan telah mendapat penyertaan peserta teramai iaitu 91 orang daripada pelbagai Jabatan dan agensi kerajaan sekitar Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok.

Program anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMS) itu diadakan selama tiga hari bermula Nov 27 hingga 29 (hari ini).

Ia bertujuan memberi pendedahan dan bimbingan berkenaan dasar, konsep, prinsip dan peraturan terkini berkaitan pengurusan kewangan dan perolehan kerajaan. — DayakDaily