Anggota APM tangkap ular sawa sepanjang 1 meter

Anggota APM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.
Advertisement

MIRI, April 13: Seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar ke kedai runcit terkejut apabila menemui seekor ular sawa di Jalan Murni, Bandar Baru Permyjaya di sini malam tadi.

Panik melihat kehadiran reptilia itu, lelaki berusia 70 tahun tersebut kemudian memaklumkan penemuan ular sawa berkenaan kepada anaknya sebelum dia menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular sawa berkenaan pada pukul 8.51 malam.

Advertisement

Katanya, sejurus itu, tiga anggota APM diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menangkap reptilia tersebut.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira 1 meter masih berada di atas jalan berkenaan.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, pihaknya mengambilnya masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia tersebut.

“Ular sawa seberat kira-kira 6 kilogram itu kemudian dibawa ke Pejabat APM Daerah Miri untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement