Lelaki ditemui mati lemas selepas dilaporkan hilang

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

MARUDI, April 13: Seorang lelaki ditemui mati lemas hari ini setelah dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Lubok Nibong di sini semalam.

Mayat mangsa iaitu, Jamin Seligi, 51, ditemui oleh pekerja sebuah tongkang pada pukul 12.35 tengah hari.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata mangsa telah dijumpai pada jarak kira-kira 3 kilometer dari bot mangsa yang dijumpa semalam.


Katanya, hasil daripada maklumat dari juragan kapal tongkang itu, lokasi pasukan penyelamat berada 500 meter daripada mangsa dijumpai.

“Semua pasukan penyelamat kemudian bergerak ke tempat mangsa dijumpai dan mengangkat mangsa ke dalam bot sebelum dibawa ke Jeti Pekan Marudi.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dia terjatuh ke dalam Sungai Lubok Nibong di sini.

Sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan ke Pasar Marudi untuk menjual hasil tangkapan ikan dan udang yang diperolehnya.

Pasukan bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 9.16 pagi.

Jarak lokasi insiden itu ialah kira-kira 30 kilometer dari jeti Pekan Marudi. — DayakDaily