Oleh Chris Bishop
ULU BARAM, 16 Mac: Kemudahan internet sejak dua tahun lepas dimanfaat sepenuh Philip Sedin bagi memasarkan ikan empurau dan semah.
Philip, 46, berbangsa Penan dari Kampung Data Bila di Selaan, Ulu Baram menyedari ia cara mudah untuk memasarkan apa sahaja demi menambah pendapatan keluarga.
Bagaikan menyahut panggilan ekonomi digital oleh Premier Sarawak, Philip belajar untuk menguasai aplikasi WhatsApp.
“Jika berhasil menangkap ikan empurau, semah dan lain-lain, ikan ini akan saya simpan di dalam peti ais.
“Kemudiannya saya akan membuat hantaran di aplikasi WhatsApp group menyatakan jenis ikan dan saiz, ia bagi menarik perhatian pembeli khususnya orang tengah.
“Setelah semua rundingan dipersetujui, orang tengah akan datang ke Data Bila untuk mengambil ikan.
“Harganya dalam lingkungan RM80 hingga RM100 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Data Bila hari ini.
Philip antara masyarakat Penan yang sentiasa aktif mencari ikan empurau dan semah di Sungai Selaan.
Selain itu tambah Philip, hasil terung asam dari kebun beliau turut dipasarkan menggunakan aplikasi WhatsApp.
Katanya, setelah menuai hasil terung asam, ia juga akan dihantar ke aplikasi WhatsApp group.
Kebiasaannya hasil tuaian Philip boleh mencecah sehingga 40 kilogram dan ia dijual kepada orang tengah sekitar RM2 hingga RM3 sekilogram.
“Dengan kemudahan internet ini, penduduk luar bandar seperti saya dapat memasarkan hasil sungai dan hasil tani.
“Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk menyara keluarga,” katanya.
Philip memiliki 6 orang anak dimana lima anak perempuan beliau sekarang bersekolah di SMK Temenggung Datuk Lawai Jau di Long San.
Manakala anak bongsu lelaki beliau baru sahaja berusia 3 tahun.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperkenalkan Jendela bagi menyediakan kemudahan internet bagi penduduk di luar bandar.
Ia mengguna pakai teknologi satelit bagi memperluaskan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman melalui satelit yang dikenali sebagai Broadband Wireless Access (BWA). — DayakDaily