KUCHING, 23 Feb: Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) mengalu-alukan penyertaan belia di kawasan Betong ke satu bengkel
pendidikan pengundi khas bertajuk Bengkel Kesedaran Demokrasi Bersama Belia 2021 pada Sabtu ini.
Menurut jurucakap PPDM, objektif penganjuran adalah untuk berkongsi dengan anak muda Sarawak tentang sistem pemerintahan negara dan
tanggungjawab mereka bila menjadi pengundi.
“Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif untuk mendidik anak-anak muda mengenai peranan politik dalam kehidupan rakyat biasa dan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.
“Adalah penting untuk belia masa kini mengetahui hak mereka dalam mempengaruhi proses membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berdasarkan perkembangan semasa tambah PPDM, terdapat pemimpin yang memberikan gambaran bahawa undi 18 tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa kini kerana orang muda bawah 21 tahun tidak peka tentang pentadbiran, politik dan isu semasa.
Justeru, PPDM menyahut cabaran ini dengan memberikan pendidikan asas kepada belia agar mereka bersedia apabila mengundi kelak.
Dalam pada itu, kaunter daftar undi juga akan dibuka pada bengkel tersebut untuk membantu mendaftarkan mana-mana yang belum mendaftar sebagai pengundi.
“Kita berharap agar belia-belia di Betong mengambil peluang ini untuk mempelajari dan memahami sistem pentadbiran negara dan tanggungjawab mereka sebagai warga Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Belia dalam lingkungan umur 15 sehingga 30 tahun adalah digalakkan untuk menyertai bengkel dan boleh mendaftar menerusi
https://forms.gle/498BDrxLZFnq8LqU6.
Selain itu, orang ramai dijemput untuk menghadiri bengkel ini dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 014-398 4998. – DayakDaily