Anak lelaki durjana ugut ibu kandung diberkas

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 27: Tindakan seorang lelaki yang bertindak mengugut untuk mencederakan ibunya dengan menggunakan sebilah parang akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis di sini pada Selasa.

Lelaki berusia 27 tahun tersebut dicekup oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 2.30 petang.

Menurut sumber, suspek berkenaan ditahan susulan laporan polis yang dilakukan oleh ibu kandung lelaki terbabit yang berusia 52 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, wanita berkenaan mendakwa suspek telah mengugut serta mengancam keselamatan dirinya dengan menggunakan sebilah parang selepas enggan memberikan duit kepadanya.

“Suspek juga dikatakan ‘naik angin’ dan menetak meja di rumah kerana ibunya enggan memberi duit kepadanya.

“Mangsa yang risau akan keselamatan dirinya apabila melihat suspek mengamuk kemudian segera membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Sumber sama menambah, suspek yang diberkas kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Sebilah parang yang digunakan suspek semasa mengugut ibu kandungnya juga telah dirampas,” katanya. -DayakDaily