Anak kelahiran Stenggang antara disebut calon GPS di Parlimen Mas Gading

Harry (empat dari kanan) dan Lidang (tiga dari kanan) pada tinjauan ke Gereja Katolik ST Francis Xavier di Seri kin.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Jun: Pelobi muda Lidang Disen antara nama yang disebut sebagai calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merampas semula kerusi Parlimen P.192 Mas Gading pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Lidang yang merupakan anak tempatan kelahiran Kampung Stenggang dengan latar belakang Jurutera Awam selama ini aktif mendampingi rakyat.


Beliau sering kelihatan bersama Adun Tasik Biru yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep di dalam pelbagai aktiviti di kawasan kebelakangan ini.

Selain itu, Lidang ,47, yang merupakan ahli Parti Demokratif Progresif (PDP) juga sering mengikuti aktiviti yang dihadiri Adun Opar Billy Sujang di kawasan.

Menurut Harry yang juga Naib Presiden PDP, Lidang adalah di antara orang kuat di N.2 Tasik Biru dan diyakini memiliki aspirasi untuk memajukan kawasan Parlimen Mas Gading.

“Beliau adalah ahli parti PDP dan sudah lama aktif di kawasan Dun Opar dan Dun Tasik Biru.

“Malah, Lidang juga di antara orang kuat di kawasan Dun Tasik Biru,” kata Harry.

Pada perayaan Hari Gawai lepas, Lidang juga kelihatan mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan pemimpin veteran Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Wilfred Nissom.

Pada kunjungi itu, beliau bersama Harry turut mengadakan perbincangan bersama Nissom yang dipercayai berhubung persediaan menghadapi PRU15.

Pada PRN 2021 dan PRU14 lepas, Lidang aktif bekerjasama dengan semua komponen parti GPS terutama semasa kempen PRN dan PRU yang lepas.

Dalam pada itu, Lidang yang sudah berumah tangga dan menetap di Kampung Jagoi Bogag ketika ditemui berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab jika diberi peluang sebagai calon.

Beliau bersedia menjadi mekanisma penghubung dan menyampai pendapat, kehendak dan keperluan masyarakat Mas Gading terutama dari segi pembangunan modal insan, sosio ekonomi dan fizikal.

Lidang juga percaya masyarakat terutama pengundi d kawasan Mas Gading dapat menerima dan memberi sokongan.

Beliau membantu JKKK, KK dan KM membuat permohonan yang teknikal seperti permohonan projek naiktaraf jalan, empangan graviti, dewan kampung, bina dan baikpulih gereja.

Daripada aspek pendidikan, Lidang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Bau seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bidang Kejuruteraan Awam.

Beliau memulakan kerjayanya di Kota Samarahan pada tahun 1999 dengan memegang jawatan jurutera sebelum menubuhkan firma pembinaan dan konsultan pada tahun 2009.

Pada PRU14 yang diadakan pada 2018 lalu, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Mordi Bimol berjaya merampas kerusi Parlimen Mas Gading daripada Barisan Nasional (BN).

Mordi memperoleh 12,771 undi sekaligus menang dengan majoriti 3,024 undi menerusi pertandingan satu lawan satu dengan calon BN Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

Nogeh yang merupakan Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif (PDP) dan bekas penyandang kerusi tersebut tewas dengan 9,747 undi. — DayakDaily