Anak buaya sesat mati dilanggar

Anggota APM memeriksa keadaan anak buaya yang cedera dilanggar.

MIRI, April 4: Seekor anak buaya sesat ditemui mati dipercayai dilanggar di Jalan Tukau, Kampung Bakam di sini hari ini.

Anak buaya sepanjang kira-kira 1 meter itu dijumpai pada pukul 7 pagi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, pihak APM Miri menerima panggilan berhubung penemuan reptilia itu pada pukul 7.35 pagi.


Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan tiga anggota APM bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati anak buaya itu masih hidup, namun dalam keadaan lemah.

“Anggota APM kemudian terus menarik buaya itu ke bahagian tepi jalan raya dan memeriksa keadaan anak buaya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah jurucakap sama, anggota APM kemudian mengikat bahagian mulut, tangan, kaki dan menutup mata anak buaya itu.

Katanya, mereka kemudian membawa reptilia itu ke Pejabat APM Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian reptilia itu mati akibat kecederaan pada anggota badannya,” katanya lagi. — DayakDaily