Anak-anak Sarawak dengan masalah kewarganegaraan perlu terus ke sekolah — Timbalan pengerusi PKR Sarawak

Senator Abun Sui Anyit

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 31 Mac: Anak-anak yang tidak bersekolah selama ini kerana masalah dokumen kewarganegaraan perlu diambil untuk menyambung persekolahan mereka.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Pendidikan di semua peringkat perlulah memudah cara agar perkara ini dapat dilaksanakan.


“Kerajaan Madani sedang melakukan yang terbaik untuk membolehkan anak-anak penduduk orang asal Sarawak yang tidak ada dokumen kewarganegaraan Malaysia untuk bersekolah,” kata Abun.

Menurut beliau, perkara ini disahkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat yang diadakan semalam bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Justeru, Abun memohon agar pekeliling mengenai isu ini perlu diperincikan dengan segera agar anak-anak ini tidak terus tercicir.

“Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendafraran Negara (JPN) juga perlu segera melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dokumen anak-anak ini di seluruh Sarawak,” katanya. — DayakDaily