Ambang Tahun Baharu tanda penghargaan untuk pertugas barisan hadapan

Karim (dua,kiri) menekan buzer menandakan bermulanya tahun 2021.
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 1 Jan: Sarawak menyambut tahun baharu dengan suasana meriah dengan para pertugas barisan hadapan dihargai dengan pelbagai persembahan menarik dan pertunjukkan bunga api.

Menteri Perlancongan Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seluruh rakyat di negeri ini amat terhutang budi dengan pertugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.

Advertisement

Katanya, penularan pandemik Covid-19 telah secara langsung membawa perubahan mendadak kepada cara kehidupan selain memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan kesihatan awam.

Detik 12.00 pagi menandakan bermulanya tahun 2021.

“Kita bersyukur kerana negeri Sarawak di bawah kepimpinan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) telah bertungkus lumus mengubal strategi dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Walaupun menyebabkan sekatan pergerakan dan aktiviti yang dianggap tidak begitu selesa namun ia berjaya melingdungi negeri kita daripada penularan wabak Covid-19 dengan amat berkesan sekali berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini malam tadi.

Antara pertugas barisan hadapan yang menghadiri sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching.

Abdul Karim berkata, walaupun berhadapan dengan cabaran besar sepanjang tahun 2020 namun ia bukan alasan untuk semua pihak untuk berputus asa.

Jelas beliau, kiraan detik yang menandakan permulaan tahun baharu turut memberi isyarat bahawa usaha perlu dipertingkat untuk menghadapi cabaran akan datang.

Antara persembahan pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching.

“Kita sama-sama berganding bahu dalam apa jua usaha kita pada tahun baharu 2021. Kita yakin wabak Covid-19 dapat terkawal dengan wujudnya vaksin yang berkesan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement