KOTA SAMARAHAN, Nov 17: Penduduk bahagian Samarahan diminta tidak ketinggalan mengambil berat tentang penyakit diabetes, berikutan semakin ramai rakyat negara ini menghidapnya disebabkan obesiti dan tidak menjaga pemakanan.
Pegawai Kesihatan Samarahan, Dr Nur Fatihah Oh Abdullah, berkata ramai penduduk di negara ini tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah pihak hospital memaklumkan mengenainya.
Ini terutamanya setelah pesakit dikesan menghidapi penyakit lain akibat diabetes seperti penyakit buah pinggang, stroke dan mati pucuk bagi lelaki.
“Saya meminta penduduk bahagian Samarahan, terutama kalangan ibu, supaya memasak makanan yang sihat untuk ahli keluarga khususnya anak mereka bagi mengelakkan obesiti dan berisiko menghidap diabetes,” katanya ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Bahagian Samarahan di sini, hari ini.
Dr Nur Fatihah berkata ketika ini, dianggarkan seorang dari lima rakyat Malaysia menghidapi pesakit diabetes dan di rantau Asia pula, negara ini adalah yang teramai rakyatnya menghidapi obesiti dan berisiko mendapat penyakit itu.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun lepas menunjukkan pesakit diabetes di kalangan rakyat Sarawak terus meningkat dua kali ganda setiap lima tahun iaitu 12.3 peratus pada 2010, kepada 14.8 peratus pada 2015, dan dijangka meningkat kepada 16 peratus pada 2020.
“Bagi jumlah kunjungan pesakit ke klinik-klinik bahagian Samarahan menunjukkan seramai 3,150 daripada 12,000 kunjungan setiap bulan adalah pesakit diabetes,” katanya.
Penyakit terbabit juga dianggap pembunuh senyap kerana kajian menunjukkan ramai tidak tahu atau sedar mereka menghidapnya, beliau menambah.
“Diabetes berlaku apabila organ pankreas kita tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup yang biasanya berlaku dikalangan mereka yang obesiti. Ketiadaan insulin yang mencukupi menyebabkan badan kita tidak dapat menghadam glukos dengan baik.
”Ini menyebabkan glukos berlebihan dalam darah yang memberi kesan sampingan kepada organ lain dalam badan dan biasanya penghidap diabetes tidak merasa tanda penyakit itu.” — DayakDaily