Ali vs GPS di Saratok? GPS bertanding di semua 31 kerusi Parlimen

Abang Johari (duduk tiga dari kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako hari ini (18 Okt 2022).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Okt: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg umumkan GPS akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan keputusan ini, PRU15 nanti bakal menyaksikan pertembungan calon GPS menentang penyandang kerusi Parlimen Saratok Datuk Ali Biju yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Advertisement

GPS di wakili Parti Progresif Demokratik (PDP) yang terdahulu telah menamakan calonnya Giendam Jonathan.

“GPS akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.

“Senarai nama calon akan kita umumkan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi,” katanya di sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Ali akan bertanding semula pada PRU15.

Sumber dipetik sebagai berkata Ali bersedia mempertahankan kerusi itu tetapi enggan mendedahkan sama ada akan bertanding atas tiket Bersatu atau sebagai calon bebas.

Ali menyertai Bersatu pada 2020 susulan ‘Langkah Sheraton’ yang terkenal yang mencetuskan kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, dan naib pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak.

Beliau bertanding di Saratok atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 2018, menewaskan Subeng Mula dari Barisan Nasional dengan majoriti 989 undi.

PN Sarawak dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, PDP tidak menghormati perjanjian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, di mana Ali diminta menyerahkan kerusi DUN Krian kepada PDP.

Selain PDP dan PBB, dua parti lain membentuk GPS ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) Sarawak menang 19 daripada 31 kerusi dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menang enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) empat kerusi dan calon bebas dua kerusi.

PBB menang 13 kerusi dan hilang satu kerusi iaitu Puncak Borneo.

SUPP yang bertanding di tujuh kerusi, tewas di enam kerusi dan mengekalkan kemenangan di kerusi Serian.

Bagi PRS, bertanding di enam kerusi tewas di tiga kerusi iaitu Lubok Antu, Julau dan Selangau. Parti itu hilang tiga kerusi berbanding menang semua pada pilihan raya sebelum ini.

Manakala PDP bertanding di empat kerusi menang di Bintulu dan Baram namun tewas di Mas Gading dan Saratok. — DayakDaily

Advertisement