Ali Biju: Jangan pangkah saya, tetapi pangkah calon GPS

Datuk Ali Biju

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Dis: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian Datuk Ali Biju mengajak penyokongnya untuk memangkah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik di kertas undi pada 18 Dis nanti.

Berucap di satu majlis yang diadakan di Rh Ajang, Tembawai Pok di Krian hari ini, Ali Biju yang juga MP Saratok berkata, ia penting untuk memastikan kemenangan kepada calon GPS.


“Oleh sebab itu pada hari mengundi nanti, mesti ingat nama saya ada di kertas undi dengan lambang kerusi.

“Tetapi minta simpati semua penyokong saya supaya tidak memangkah saya. Tetapi undilah calon GPS iaitu Friday Belik.

“Sebab jika kamu memangkah saya ia adalah membazir undi. Kalau Friday menang, saya pun menang, bukan satu kerugian untuk kita semua,” kata Ali Biju.

Ali Biju turut menasihati penyokong yang telah 10 tahun bersamanya untuk mengenepikan perasaan marah setelah beliau mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding kerusi tersebut.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, penglibatan beliau di dalam pilihanraya untuk mempertahankan DUN Krian bakal memberi kesan yang besar kepada senario politik negara.

Menurut beliau jika bertanding sebagai calon Bebas kali ini, bagaimana pula pada pilihanraya akan datang, sudah pastinya akan sekali lagi menjadi calon Bebas.

“Kita harus berfikir panjang dan tiada rugi kali ini kita melepaskan kerusi DUN Krian. Saya minta semua penyokong jangan marah.

“Kita bakal mendapat keuntungan sebab kita ada tambahan wakil rakyat yang akan membawa pembangunan di kawasan ini.

“Jika saya bawa 10 projek pembangunan sebagai ahli parlimen, dia (Friday) nanti bawa 10 lagi, bukankah sudah 20 semuanya,” ujar Ali Biju yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut hadir pada majlis itu Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Sri Tiong King Sing dan Friday Belik.

Ali Biju pada 6 Disember lepas telah menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas tetapi mengumumkan menarik diri 3 hari selepas itu.

Biarpun mengumumkan menarik diri, nama Ali Biju yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN ini akan tetap dicetak pada kertas undi. Malah, beliau akan kekal dianggap bertanding di kerusi DUN Krian.

Ini kerana berdasarkan undang-undang Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), calon tidak boleh bertindak sedemikian walaupun tetap ingin menarik diri selepas disahkan bertanding menerusi proses penamaan calon.

Pada PRN-11 yang diadakan pada 2016, Ali Biju memenangi kerusi DUN Krian dengan memperolehi 5,388 undi dengan majoriti 1,640 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Kilat Beriak.

Terdahulu beliau memenangi kerusi DUN Krian dengan majoriti 2,090 undi pada 2011 dengan menewaskan calon BN-PDP, Datuk Peter Nyarok Entrie.

Setelah memenangi Parlimen Saratok pada Piliharaya Umum Ke-14, Ali Biju kemudiannya menyertai Bersatu yang menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. — DayakDaily