KUCHING, 27 Sept: Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Ali Biju menganggap kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Sabah sebagai sokongan majoriti rakyat kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Katanya, Muhyiddin sangat popular khususnya di kawasan luar bandar dan ia mengatasi segala publisiti murahan watak-watak politik yang mencari perhatian.
“Apabila wujudnya kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, setiap orang akan mendapat keuntungan dan rakyat Sabah menzahirkan hakikat politik ini melalui pilihanraya.
“Jalinan hubungan antara Putrajaya dan Kota Kinabalu kini terbuka dan rakyat Sabah dapat mengharapkan limpahan inisiatif pembangunan yang mapan tanpa gangguan dan berlangsung dengan lancar,” menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Ali, beliau sangat memahami perasaan orang-orang Bumiputera luar bandar di Sabah yang mempunyai hasrat dan harapan seperti Sarawak.
Ujar beliau, pada lawatan di kerusi DUN Karanaan, Kundasang dan Paginatan, rata-rata rakyat inginkan pembangunan dan ekonomi yang sebenarnya.
“Jelaslah bahawa isu pembangunan ekonomi serta infrastruktur asas masih menjadi tumpuan utama di kawasan pedalaman Sabah.
“Isu kebanjiran pendatang tanpa izin juga telah menjadi tekanan penting,” katanya yang juga MP Saratok dan ADUN Krian. — DayakDaily